JULAI 2024

Premier Hadir Bersama TYT Pada Majlis Istiadat Pertabalan YDP Agong


KUALA LUMPUR, Sabtu: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg pada Sabtu telah hadir bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Majlis Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai  Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Balairung Seri, Istana Negara.

Tun Pehin Sri Wan Junaidi diiringi isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan turut hadir ialah isteri Premier, Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang. 

Istiadat yang mengangkat kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara itu bermula tepat jam 10.30 pagi sebaik Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat masuk ke Balairung Seri.

Istiadat yang dihadiri oleh Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri-negeri itu juga berlangsung dalam suasana yang penuh adat dan tradisi raja-raja Melayu. 

Sultan Ibrahim, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor  pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, telah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-263 di Istana Negara pada 27 Oktober 2023 bagi tempoh lima tahun mulai 31 Januari 2024 untuk menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.